Minggu ini pihak PDK mengadakan hari sukan untuk semua pelatih PDK. Tujuan hari sukan ini diadakan untuk melatih motor kasar dan halus mereka. Selain itu, melalui sukan ini juga guru dan pelatih serta ibu bapa dapat mengeratkan hubungan silaturahim kerana aktiviti yang dijalankan ini melibatkan semua pihak. Antara aktiviti yang diacarakan pada hari ini ialah sidai baju di ampaian, pecahkan belon, perah span air ke dalam botol dan banyak lagi acara yang menarik.
Saya mewakili rumah merah diberi topeng burung oleh Puan Zaitol. Rumah merah berjaya mendapat tempat pertama untuk acara keseluruhan Hari Sukan tersebut. Selain itu, pada hari tersebut saya ditugaskan menjaga masa untuk sukan mengisi guli dalam botol untuk Kumpulan C. Apa yang boleh saya lihat semasa aktiviti ini dijalankan ialah hubungan anak dengan penjaga. Mereka semestinya menginginkan yang terbaik untuk anak-anak namun mereka tahu kemampuan anak-anak mereka terhad. Saya juga melihat kegigihan ibu bapa untuk melihat anak mereka bermain dan berseronok pada hari tersebut.
Ibu bapa juga disediakan aktiviti yang menarik seperti mengupas bawang putih dan telur, tiup bola ping pong dan banyak lagi. Melalui aktiviti ini, kami dapat berbual dan bermesra dengan ibu bapa pelatih yang kesemuanya ramah dan mudah didekati.


No comments:
Post a Comment