Tuesday, 13 December 2016

Refleksi Minggu 8 ( 8/12/16) – Hari Anugerah Cemerlang dan hari terakhir di PDK




Pada minggu ini akan diadakan hari anugerah cemerlang untuk pelatih-pelatih PDK. Setiap daripada kami telah diberikan tugas masing-masing. Saya diberi tugas sebagai urusetia persembahan dan dibantu oleh seorang lagi rakan iaitu Noor Hajijah dan guru PDK iaitu Cikgu Hani. Dalam majlis ini, ibu bapa semua pelatih turut dijemput untuk bersama-sama anak mereka mendapat anugerah. Majlis ini juga dihadiri oleh tetamu-tetamu VVIP antaranya PKMD Kuala Langat iaitu Encik Mad Isa. Beliau telah memberi ucapan dalam majlis ini.

Selain itu, dalam majlis ini juga diadakan persembahan daripada para pelatih. Antara persembahan yang diadakan ialah Persembahan Lagu Gemuruh daripada pelatih remaja, Persembahan Quranis, Persembahan Tarian Remaja dan akhir sekali persembahan daripada pihak kami. Kami telah menyampaikan sebuah lagu yang berjudul “Dengarlah Bintang Hatiku”. Lagu ini kami tujukan kepada semua pelatih yang kami sayangi. Lagu ini mempunyai penuh makna yang menyuruh agar kita sayang kepada anak-anak syurga ini. Di samping itu, diadakan juga pertandingan pakaian beragam daripada pelatih PDK.


Antara anugerah yang disampaikan pada hari ini ialah Anugerah Pencapaian Akademik dan Kemahiran Terbaik 2016 mengikut kelas A,B,C,D dan Q, Anugerah Kehadiran Terbaik, Pencapaian Prasekolah dan Penyampaian Sijil EPC. Majlis ini diadakan dengan penuh gilang gemilang dan meriah sekali. Semua pihak telah memberikan kerjasama baik sepanjang majlis ini.


Seterusnya, hari ini juga merupakan hari terakhir kami disini, jadi kami telah memberikan sedikit saguhati kepada pelatih PDK sebagai tanda berterima kasih kerana sudi menerima kehadiran kami selama beberapa minggu ini. Saya berasa terharu kerana sepanjang di sini, kami disambut baik dan diberikan banyak perkongsian ilmu yang diberikan oleh ibu bapa dan petugas PDK. Ilmu yang diberikan sangat membantu saya untuk menjadi seorang guru Pendidikan Khas suatu hari nanti. Selain itu saya juga lihat majlis ini tidak dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang jika semua pihak tidak menjalankan peranan mereka masing-masing. Komitmen yang diberikan oleh semua yang terlibat sangat baik tidak kira daripada ibu bapa, pelatih, petugas mahupun sukarelawan yang terlibat. Terima kasih PDK Telok Panglima Garang kerana memberi peluang kepada saya untuk merasai pengalaman yang indah dan bermakna ini sepanjang lapan minggu saya dan rakan-rakan berada di sini.

Persembahan untuk pelatih-pelatih PDK



Refleksi Minggu 7 ( 1/12/16) – Penerangan alatan, gotong royong dan perbincangan tentang Majlis Anugerah Cemerlang

Minggu ini kami diterangkan tentang peralatan yang disediakan di PDK untuk membantu pelatih. Terdapat banyak alatan yang digunakan seperti Standing Frame, Walking Frame, Katil Senaman, Tumble dan banyak lagi. Melalui penerangan Puan Zaitol, banyak alat yang saya baru tahu fungsi sebenarnya. Kami juga diberi kebenaran untuk mencuba alatan yang disediakan. Alatan yang disediakan ini dapat membantu pelatih yang mengalami ketidakupayaan untuk meningkatkan kefungsian mereka. Seperti pelatih yang saya temu bual pada minggu sebelum ini iaitu Amirul, dia menggunakan standing frame dalam tempoh yang agak lama. Oleh itu, dia dapat berjalan tanpa bantuan orang sekeliling. Usaha yang dilakukan oleh petugas PDK untuk membantu pelatih-pelatih dapat saya lihat apabila setiap minggu mereka bersungguh-sungguh menggunakan alatan yang disediakan. 

Selain itu, pada minggu ini juga kami diminta untuk membantu mengemas stor berdekatan dengan dapur. Stor tersebut digunakan untuk menyimpan peralatan-peralatan PDK. Kami memcuci stor tesebut dan menyusun semula supaya kelihatan lebih kemas.


Di samping itu, kami juga berbincang tentang persediaan untuk majlis pada minggu hadapan. Kami diminta untuk membantu guru-guru semasa majlis tersebut dan kami juga diminta untuk membuat persembahan. Oleh itu, kami telah membuat beberapa cadangan tentang persembahan yang ingin dijalankan. Kami juga membuat latihan dan persiapan untuk persembahan ini. 



Refleksi Minggu 6 ( 24/11/16) – Gotong Royong

Minggu ini kami diminta untuk menjalankan aktiviti gotong-royong. Kami diminta untuk mengemas stor di kelas Kumpulan D. Di dalam stor tersebut terdapat set pinggan mangkuk yang tidak digunakan. Kami perlu memindakan barang tersebut ke stor lain berdekatan dengan pusat asuhan. Kami menganggap ini merupakan salah satu sumbangan kami yang tidak seberapa untuk pihak PDK. Selain itu, terdapat beberapa orang pelatih yang membantu kami untuk memindahkan barang-barang tersebut. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah memberi komitmen yang baik. 

Tujuan gotong royong ini diadakan adalah untuk membersihkan bilik stor yang agak semak dan tidak teratur. Selain itu, untuk memastikan bilik tersebut selamat digunakan oleh pelatih-pelatih dan petugas PDK. Antara nilai murni yang saya dapat dari aktiviti minggu ini adalah saya dapat bekerjasama dengan pihak PDK. Kerjasama yang diberikan dapat menjimatkan masa dan membolehkan kami menjalankan aktiviti lain dengan pelatih. 




Refleksi Minggu 5 (17/11/16) – Tugasan Perbentangan di UKM


Pada minggu ini kami tidak menghadirkan diri ke PDK kerana  terdapat tugasan perbentangan di Fakulti Pendidikan bersama pensyarah PDK. Kami membentangkan aktiviti sepanjang perjalanan kami di PDK selama beberapa minggu. Melalui perbentangan ini juga kami dapat mengetahui aktiviti yang dijalankan di PDK kumpulan lain. Kumpulan PDK yang lain juga menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang mereka di sana.



Refleksi Minggu 4 (10/11/16) Sambutan Deepavali

Pada minggu ini, pihak PDK TPG, telah mengadakan sambutan deepavali bagi meraikan pelatih yang berbangsa India. Sambutan ini melibatkan semua pelatih dan penjaga di PDK. Pelbagai aktiviti dijalankan sempena hari ini iaitu pertandingan memakai sari dan jamuan hidangan makanan tradisional kaum India

Pertandingan memakai sari diadili oleh guru-guru di PDK. Para pelatih dibantu oleh para ibu dalam pemakaian sari dan markah akan diambil berdasarkan pemakaian sari yang paling kemas. Saya melihat ibu-ibu sangat seronok semasa menjalankan aktiviti ini. Pelatih juga turut bersuka ria meraikan sambutan ini. Walaupun majlis ini dijalankan secara kecil-kecilan saya dapat merasakan kemeriahannya apabila bersama-sama dengan mereka. Melalui majlis ini juga saya dapat lihat kemahiran yang ada pada setiap pelatih yang membolehkan mereka untuk memakai sari dengan kemas. Setelah tamat aktiviti memakai sari ini kami dijemput untuk menikmati hidangan jamuan yang disediakan. Kebanyakan juadah ini dimasak sendiri oleh ibu pelatih dan guru-guru di PDK.

Sambutan seperti ini perlu dicontohi dan dijalankan di setiap PDK bagi memastikan keharmonian setiap pelatih dan mengeratkan lagi hubungan antara pelatih, ibu bapa dengan guru. Selain itu, antara aktiviti yang dijalankan juga dapat memberi peluang kepada kaum lain untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang perayaan kaum India.








Refleksi Minggu 3 ( 3/11/16) – Temubual Penjaga



Pada minggu ini kami diberi tugasan untuk sesi temubual dengan penjaga. Kami diberi beberapa soalan untuk ditemubual. Setiap orang daripada kami diberi seorang penjaga untuk menjalankan sesi ini. Semasa sesi temu bual saya dapat melihat kerenah pelatih yang pelbagai.

Saya telah menemu bual ibu kepada pelatih Amirul Asraf. Amirul berumur 5 tahun dan didiagnosis Critical Blindness. Kategori pelbagai iaitu dia mempunyai lebih daripada satu masalah. Menurut ibu Amirul, semasa bayi Amirul mengalami demam kuning yang teruk. Selain itu, dia juga pernah terjatuh sehingga menyebabkan urat matanya rosak dan kesannya sehingga sekarang. Selain itu, dia juga mempunyai masalah asma dan tidak boleh tinggal dalam keadaan sejuk. Semasa peringkat awal Amirul di PDK, dia tidak dapat berjalan sehinggalah dia mendapat pelbagai latihan dan rawatan dan kini Amirul dapat berjalan seperti biasa. Ibu Amirul sangat seronok semasa menceritakan keadaan anaknya yang dapat berjalan seperti kanak-kanak lain seusia dengan Amirul.


Selain itu, aktiviti harian Amirul sama seperti kanak-kanak lain iaitu bermain dan dia sangat suka mendengar lagu. Amirul mempunyai pasangan kembar dan dia merupakan anak yang pertama, jadi dia selalu bermain dengan adiknya di rumah. Dari segi pengurusan diri, Amirul boleh untuk membuka baju sendiri. Ibunya memberitahu bahawa jika Amirul diajar sesuatu dia boleh untuk ikut perkara tersebut. Di samping itu, Amirul agak sensitf dengan bunyi bising dan dia kuat merajuk jika ditegur.


Kesimpulannya melalui temubual ini saya dapat kenal dengan lebih rapat antara penjaga dan pelatih. Saya juga dapat mengetahui serba sedikit tentang latar belakang pelatih lain di PDK ini semasa sesi perbincangan dengan rakan-rakan lain. 

Refleksi Minggu 2 (20/10/16) – Hari Sukan




Minggu ini pihak PDK mengadakan hari sukan untuk semua pelatih PDK. Tujuan hari sukan ini diadakan untuk melatih motor kasar dan halus mereka. Selain itu, melalui sukan ini juga guru dan pelatih serta ibu bapa dapat mengeratkan hubungan silaturahim kerana aktiviti yang dijalankan ini melibatkan semua pihak. Antara aktiviti yang diacarakan pada hari ini ialah sidai baju di ampaian, pecahkan belon, perah span air ke dalam botol dan banyak lagi acara yang menarik.

Saya mewakili rumah merah diberi topeng burung oleh Puan Zaitol. Rumah merah berjaya mendapat tempat pertama untuk acara keseluruhan Hari Sukan tersebut. Selain itu, pada hari tersebut saya ditugaskan menjaga masa untuk sukan mengisi guli dalam botol untuk Kumpulan C. Apa yang boleh saya lihat semasa aktiviti ini dijalankan ialah hubungan anak dengan penjaga. Mereka semestinya menginginkan yang terbaik untuk anak-anak namun mereka tahu kemampuan anak-anak mereka terhad. Saya juga melihat kegigihan ibu bapa untuk melihat anak mereka bermain dan berseronok pada hari tersebut.


Ibu bapa juga disediakan aktiviti yang menarik seperti mengupas bawang putih dan telur, tiup bola ping pong dan banyak lagi. Melalui aktiviti ini, kami dapat berbual dan bermesra dengan ibu bapa pelatih yang kesemuanya ramah dan mudah didekati. 

Refleksi Minggu 1 (13/10/16) – Hari Pengenalan


Minggu ini merupakan minggu pertama kami ke PDK Telok Panglima Garang. Pada hari ini kami berjumpa dengan Puan Umi iaitu penyelia PDK TPG. Beliau telah memberi sedikit sebanyak penerangan tentang PDK yang ingin kami jalankan tugas ini. Selain itu, pada hari ini kami menjalankan sesi sual kenal dengan beberapa orang guru. Kami diperkenalkan dengan kelas-kelas yang ada di PDK.

Terdapat lima kumpulan atau kelas di sini. Kumpulan A iaitu kelas untuk pelatih yang mempunyai masalah Cerebral Palsy. Kumpulan B iaitu kelas untuk pelatih peringkat Prasekolah iaitu dari umur 6 hingga 8 tahun. Kelas ini merupakan kelas persediaan untuk mereka ke sekolah rendah. Kumpulan C iaitu kumpulan kognitif yang mana mereka tidak memberi tumpuan. Kelas ini menempatkan pelatih yang berumur lingkungan 16 gingga 18 tahun. Kumpulan D menempatkan pelatih yang mempunyai masalah pembelajarn dan berumur 18 tahun ke atas. Manakala, kelas yang terakhir iaitu kelas Quranis iaitu kelas untuk pelatih belajar Al-Quran. Quranis merupakan singkatan daripada Quran Anak Istimewa. Kelas Quranis tidak ditempatkan berdekatan dengan PDK kerana kelas ini berada berdekatan dengan Masjid di kawasan tersebut.


Perjalanan kelas Quranis dari PDK mengambil masa lebih kurang 8 minit jika berjalan kaki. Kami ke kelas Quranis dan berjumpa dengan guru dan pelatih di sana. Setelah selesai bersual kenal kami pulang semula ke PDK untuk membuat jadual sepanjang kami di PDK mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Penyusunan jadual ini dilakukan bersama seorang guru di PDK iaitu Puan Zaitol. Tujuan penyusunan jadual ini ialah bagi memudahkan perjalanan aktiviti kami ke PDK setiap minggu. 


Oleh itu, pada minggu pertama ini saya dapat lihat jenis ketidakupayaan palatih-pelatih di PDK dan saya juga dapat perhatikan suasana pembelajaran pelatih bersama petugas. Petugas-petugas di sini menyediakan pelbagai alat bantu mengajar yang dapat membantu mereka dalam memberi fokus dalam belajar.